Pahang Banjir Terbesar tahun ini 2013

Assalammualaikum w.b.t
Tahun ini Kuantan, Pahang mencatatkan banjir terbesar. Banjir kali ini melibatkan beberapa buah negeri antaranya Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor. Moga semua mangsa banjir selamat dan berada dalam keaadan yang baik. Sangat menyedihkan apabila berlaku kejadian ini melibatkan kematian. al-fatihah buat mereka yang lebih Allah S.W.T sayang. Moga ada hikmahnya dan sama-sama kita ambil iktibar. sedih melihatnya, apatah lagi yang mengalami nya. Kita mampu untuk berdoa dan membantu mana yang termampu. Marilah kita bersama-sama memberi bantuan yang termampu. Bagi warga Tanjung Malim dan sekitar boleh hulurkan bantuan dengan sumbagan makanan, minuman dan keperluan asas di Bilik Gerakan UPSI.
    { KUANTAN: Banjir di Pahang meragut satu nyawa, Mohamed Alif Khalid, 21, yang dijumpai lemas petang semalam di Sungai Kampung Sepial, Kuala Tembeling, Jerantut.

Dua beranak, Jamali Jani, 45, Anggota Jawatankuasa UMNO bahagian Pekan dan anak lelakinya Megat Mohd Nazli Jamli, 17, hilang apabila terjatuh ke dalam air semasa memindahkan barang di Perkampungan Sungai Isap di sini kira-kira 7.30 malam tadi.

Kejadian berlaku dalam keadaan banjir semakin buruk di Pahang dan negeri-negeri pantai timur dengan jumlah yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir semakin meningkat.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir kini mencecah 38,323 orang dari 9,153 keluarga.

Mereka ditempatkan di 122 pusat pemindahan dalam tujuh daerah sehingga pukul 8 pagi tadi.

Daerah Kuantan masih mencatat jumlah pemindahan mangsa tertinggi iaitu seramai 30,307 orang dari 1,561 keluarga yang ditempatkan di 85 pusat pemindahan.

Di Rompin, sejumlah 4,289 mangsa ditempatkan di 15 pusat pemindahan dan di Pekan, 3,037 mangsa banjir ditempatkan di 11 pusat pemindahan. Di Maran, 637 mangsa ditempat di enam pusat pemindahan dan Jerantut, 25 mangsa ditempatkan dua pusat pemindahan.

Di Lipis seramai 21 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan dan di Temerloh, tujuh mangsa ditempatkan di satu pusat pemindahan.

Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa yang dipindahkan ke 101 buah pusat pemindahan meningkat kepada 7,780 orang pada sebelah pagi berbanding 5,393 orang malam tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negeri (MKN), keadaan banjir semakin kritikal dengan Besut merupakan daerah terbaharu yang dilanda, dengan 102 orang daripada 24 keluarga dipindah ke enam pusat pemindahan sejak 4 pagi tadi.

Pusat pemindahan itu merupakan Balairaya Kampung Renek, Dewan Serbaguna Kampung Padang Bual, Dewan Sivik Pasir Akar, SK LKTP Tenang, Surau Kayu Kelat dan Surau Kampung Bukit Mali.

Kemaman masih merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan seramai 3,840 orang dari 916 keluarga dipindahkan.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pagi ini berkenan melawat pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail II dan Sekolah Kebangsaan Seri Iman, Kemaman dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Di Dungun, jumlah mangsa yang dicatat sehingga pukul 9 pagi ini ialah seramai 2,130 orang daripada 527 keluarga, di Hulu Terenganu seramai 1,654 orang (472 keluarga) dan Marang seramai 54 orang (14 keluarga).

Sementara itu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri melaporkan paras air sungai di kebanyakan sungai utama berada pada paras bahaya.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir bertambah pagi ini dengan jumlah yang dipindahkan ialah seramai 986 orang berbanding 538 orang malam tadi.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah adalah antara jajahan terbaharu yang dilanda banjir.

Di Kuala Krai, seramai 646 orang daripada 149 buah keluarga ditempatkan di enam buah pusat pemindahan, manakala di Machang, seramai 71 orang dari 19 keluarga dipindahkan ke empat buah pusat pemindahan.

Di Pasir Mas, hanya 24 orang dari sebuah keluarga dipindahkan berikutan air Sungai Golok di Rantau Panjang yang dilaporkan melimpah.

Manakala di Pasir Puteh, seramai 109 orang dari 29 keluarga dipindahkan di tiga tempat pemindahan sementara di Tanah Merah, seramai 136 orang dari 38 keluarga berpindah ke tujuh pusat pemindahan.

Ketika ini bacaan paras air di Sungai Lebir, Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang telah melepasi paras bahaya manakala paras air di sungai-sungai lain dilapor terus meningkat.

Sehingga pukul 10 pagi, bacaan di Tualang, Sungai Lebir ialah pada paras 36.19 meter (bahaya 35 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai 25.35 meter (bahaya 25 meter) dan Jambatan Guillemard 17.15 meter (bahaya 16 meter).

Sungai Golok di Rantau Panjang pula kini mencatat bacaan 10.21 meter melepasi tahap bahaya sembilan meter dan dijangkakan jika paras air terus meningkat, lebih ramai mangsa di Pasir Mas akan berpindah.

Keadaan cuaca pagi ini terus mendung dengan sesekali hujan lebat di kawasan pedalaman.

Di MELAKA, Seramai 25 mangsa dari Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin dipindahkan ke pusat pemindahan.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka, Mejar Jafri Mohamed berkata kesemua mangsa daripada lima keluarga itu dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu sejak petang semalam setelah air Sungai Kesang melimpah ke kawasan rumah mereka.

“Walaupun hujan di negeri ini tidak lebat dan cuaca hari ini cerah, tetapi air sungai melimpah kesan aliran air sungai di beberapa kawasan di Johor yang mengalami hujan lebat,” katanya.

Paras air Sungai Kesang kini pada tahap berjaga-jaga iaitu 3.12 meter.

Di JOHOR, cuaca cerah dilapor di daerah yang teruk dilanda banjir iaitu Mersing pada sebelah pagi, namun belum terdapat tanda banjir telah reda.

Jabatan Meteorologi melaporkan kawasan pantai Johor Timur masih terdedah kepada kenaikan paras air laut dan dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Ia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua berikutan angin kencang timur laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dan ombak setinggi 4.5 meter di kawasan perairan Pahang dan Johor Timur.

Sementara itu portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan setakat 11 pagi, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 8,793 orang berbanding 8,705 malam tadi.

Mereka ditempatkan di 62 buah pusat pemindahan di daerah yang terkesan oleh banjir tersebut.

Mersing masih mencatat jumlah mangsa teramai yang dipindahkan iaitu 5,716 orang, diikuti Segamat (1,052); Kluang (1005); Pontian (409); Muar (217); Kota Tinggi (212); Batu Pahat (175); dan Ledang (tujuh).


Berita mula diterbitkan pada: Disember 05, 2013 12:51 (MYT)

Tag: Banjir, Pahang, Kuantan, Terengganu, Kelantan, Johor, Melaka
See also  Perginya seorang ulama, pejuang Islam, pemimpin negara yang sangat disanjungi dan dikasihi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*